Tanggal 16 Mei 2008 adalah hari yang dinanti-nantikan oleh semua warga pendidik. Pada tarikh keramat itulah semua insan yang bergelar guru, cikgu, laoshi mahupun sensei diraikan untuk memperingati jasa dan bakti mereka dalam mendidik anak bangsa. Dengan tema “Guru Cemerlang, Negara Terbilang”, hari guru diraikan dengan penuh meriah di segenap pelusuk negara.
SK Selayang Jaya dengan kerjasama Badan Kebajikan Kakitangan Dan Guru (BKGK) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah pada tahun ini. Seawal 8.00 pagi lagi, para pelajar SKSJ telah berhimpun di dewan SKSJ untuk menanti majlis bermula. Warga gurunya pula beratur di luar dewan untuk menanti saat diarak masuk ke pentas dengan iringan paluan kompang dan bunga manggar, persis raja sehari. Sesungguhnya kejutan yang dibuat BKGK pada tahun ini ‘menjadi’. Masing-masing kacak dan cantik dengan busana biru, tema pakaian pada majlis itu.
Pelbagai acara diatur dengan teliti untuk memastikan kelancaran majlis. Tidak ketinggalan persembahan dari murid-murid SKSJ. Baik nyanyian, tarian, sajak, sketsa mahupun persembahan gimria, masing-masing berusaha memberikan persembahan yang terhebat buat guru-guru tersayang. KPBP SKSJ pada tahun ini mempersembahkan sketsa dan tarian “Chicken Dance” serta persembahan nyanyian solo lagu Hati Emas dari adik Arif Hafizie. Aksi lincah kanak-kanak khas ini cukup menggeletek hati para penonton.
Majlis dimeriahkan lagi dengan acara sukaneka guru-guru. Aksi guru-guru lelaki mengupas bawang mengundang gelak tawa isi dewan. Masakan tidak, ketika inilah murid-murid dapat melihat kehebatan guru-guru kacak mereka membuat kerja dapur. Perkara yang mungkin jarang-jarang benar dapat dilihat dalam kehidupan sebenar. Begitu juga halnya dengan guru-guru wanita yang bersaing mengikat tali leher. Aduhai guru... Menepuk dahi pabila murid pula yang beria-beria mengajar guru. Namun, hubungan mesra antara murid dan guru seperti inilah yang diinginkan di sekolah.
Semoga warga pendidik kita terus tabah dan bersemangat meneruskan kerjaya mereka yang dipandang mulia disisi masyarakat. “Guru Cemerlang, Negara Terbilang”
Semoga warga pendidik kita terus tabah dan bersemangat meneruskan kerjaya mereka yang dipandang mulia disisi masyarakat. “Guru Cemerlang, Negara Terbilang”