SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI, SEKOLAH KEBANGSAAN SELAYANG JAYA. WARGA PPKI SKSJ MENGUCAPKAN JUTAAN TERIMA KASIH DI ATAS KUNJUNGAN SAUDARA SAUDARI


17 November 2008

Lawatan Sambil Belajar Ke Seremban

Pada 13 November 2008, KPBP SKSJ telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke sekitar Seremban. Seramai 44 orang murid dan guru bertolak dari SKSJ seawal 8.30 pagi dan tiba di Seremban sekitar jam 10 pagi. Seusai menjamah sarapan pagi, kami dibawa ke Kilang Yakult. Pegawai yang bertugas amat mesra dan penerangan yang diberi juga jelas dan dapat menarik perhatian lebih-lebih lagi kanak-kanak. Masing-masing pulang dengan bungkusan minuman yakult yang dibeli dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran.
Kemudiannya, kami dibawa pula ke Taman Tasik Seremban untuk menikmati santapan tengahari. Seusai makan dan solat, lawatan diteruskan ke Jelita Ostrich Farm. Setibanya disana, murid-murid begitu teruja kerana dapat melihat burung unta dari dekat, malahan diberi peluang untuk menunggang dan menyaksikan perlawanan F1 burung unta. Setiap yang menunggang juga turut diberikan sijil oleh pihak Jelita Ostrich Farm. Petangnya pula, kami dibawa ke ladang penanaman sayur-sayuran secara aerofonik. Disini kami berpeluang mempelajari teknik penanaman sayur-sayuran yang terkini di negara kita. Namun demikian, cuaca yang tidak mengizinkan menyebabkan lawatan ke ladang sedikit terganggu. Sekitar jam 6 petang, rombongan bertolak pulang dan tiba di sekolah pada pukul 7.30 malam.

12 November 2008

Majlis Sambutan Hari Jadi (Jul-Dis 2008)

Pada 11hb November yang lalu, telah diadakan Majlis Sambutan Hari Jadi Pendidikan Khas SKSJ. Majlis ini diadakan untuk meraikan murid-murid KPBP yang menyambut hari lahir sepanjang Julai hingga Disember 2008. Pihak kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada ibu-bapa, guru-guru dan semua pihak yang menyumbangkan makanan dan hadiah untuk murid-murid. Terima Kasih Daun Keladi.

Hari Kanak-Kanak (RIMUP SKSJ)

Program RIMUP SK Selayang Jaya telah diadakan pada 10 November 2008, bersempena dengan sambutan Hari Kanak-Kanak. Penglibatan murid secara menyeluruh dapat dilihat melalui acara sukaneka. KPBP SKSJ mengambil bahagian dalam 2 acara iaitu Bom Beracun dan acara bawa bola pingpong dalam sudu. Walaupun setiap murid bakal membawa hadiah yang sama, namun mereka tetap bersaing bersungguh-sungguh untuk memenangi acara masing-masing.

10 November 2008

Peperiksaan Akhir Tahun 2008

Bermula 6 hingga 14 November,murid-murid akan menjalani peperiksaan akhir tahun. Peperiksaan ini adalah yang julung-julung diadakan oleh KPBP SKSJ. Selain untuk menguji tahap pencapaian murid, antara lain tujuannya adalah untuk memberikan pendedahan tentang senario sebenar peperiksaan yang wajib dilalui oleh pelajar aliran perdana. Justeru, murid-murid ini diuji menggunakan kertas peperiksaan akhir bagi tahun 1 dan tahun 2.

03 November 2008

Hi-Tea SK Selayang Jaya


Hi-Tea SK Selayang Jaya telah diadakan pada 1 November 2008 bertempat di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Majlis anjuran Badan Kebajikan guru Dan kakitangan (BKGK) SKSJ ini adalah jamuan makan akhir tahun 2008, bersempena juga dengan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri. Selain menjamu selera, majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah oleh pihak pertadbir dan wakil PIBG yang dijemput.

25 October 2008

Perkhemahan Pendidikan Khas


Sempena Bulan Pendidikan Khas, salah satu aktiviti yang dirancang adalah perkhemahan Pendidikan Khas. Perkhemahan ini telah diadakan selama 2 hari iaitu pada 23hb hingga 24hb Oktober 2008 yang lalu bertempat di blok KPBP SKSJ. Tujuan perkhemahan ini adalah untuk meningkatkan potensi diri murid-murid pendidikan khas dalam aktiviti berkonsepkan “Pendidikan Luar Bilik Darjah. Selain itu, ia juga diharapkan dapat memupuk semangat kerjasama dan berdikari para pelajar sekaligus meningkatkan daya tahan fizikal dan mental mereka. Sepanjang 2 hari program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya senam aerobik, treasure hunt, membuat layang-layang, sukaneka, tayangan video dan gotong royong. Pada malamnya pula, selain menjamu selera dengan pelbagai hidangan bakar, turut diadakan Malam Bakat Pendidikan Khas. Selain menghibur hati, ketika inilah bakat-bakat kanak-kanak khas ini dapat ditonjolkan. Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru dan pembantu yang bertungkus lumus sepanjang program ini berjalan. Terima kasih juga kepada ibu-bapa pelajar KPBP SKSJ di atas kerjasama mereka untuk melibatkan anak-anak dalam menjayakan program yang telah dirancang oleh para guru.

Friendly Relationship Through Pictures

Pada 22hb Oktober 2008 yang lalu, KPBP SKSJ telah menghantar 2 orang murid, Yau Shyh Weng dan Muhammad Iklil untuk menyertai pertandingan melukis "Friendly Relationship Through Pictures" di SK Gombak Setia. Program ini dianjurkan oleh MAY Asaka Center, Jepun (May Library) untuk mengeratkan tali silaturrahim antara Malaysia dan Jepun dalam mendalami kebudayaan antara kedua-dua negara. Tahun lepas, KPBP SKSJ berjaya merangkul hadiah johan melalui adik Teng Zao Yong. Walaupun tahun ini kami tidak dapat mengulangi kejayaan seperti tahun lepas, namun semangat murid-murid tidak pernah luntur. Sesungguhnya kami amat berbesar hati kerana kanak-kanak pendidikan khas diberi peluang untuk turut sama melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti bertaraf antarabangsa seperti ini. Semoga program ini akan diteruskan lagi di tahun akan datang.

12 October 2008

Perasmian Bulan Pendidikan Khas 2008

Perasmian Bulan Pendidikan Khas 2008 telah diadakan pada 13 Oktober 2008 dan disempurnakan oleh Guru Besar SKSJ, Pn Jamilah Abdul Rahman. Murid-murid KPBP mempersembahkan senam aerobik dan Brain Gym. Sepanjang bulan Oktober ini, KPBP SKSJ telah merancang beberapa aktiviti antaranya persembahan murid, jualan amal dan pameran poster .







18 September 2008

Kerja-kerja Menaik Taraf Blok KPBP SKSJ

Kerja-kerja menaik taraf bangunan KPBP SKSJ telah siap sepenuhnya. Berikut adalah keadaan stor yang telah diperbaiki, untuk dijadikan stesen muzik dan bilik permainan dalaman. Stor yang baru pula telah disiapkan di ruangan antara dua blok KPBP untuk simpanan barang sukan dan peralatan kemahiran hidup. Bilik air dan tandas juga telah dinaik taraf dengan penambahan besi railing di dinding-dinding untuk memudahkan pelajar-pelajar kategori cerebral palsi menggunakan tandas.





15 August 2008

Projek Pembangunan KPBP SKSJ

Selain menjayakan Taman Teraputik, projek pembangunan KPBP SKSJ tahun 2008 antara lain adalah untuk membaikpulih stor sukan. Mengikut perancangan, stor ini akan dijadikan stesen muzik, stesen permainan dalaman dan pusat sumber. Kewujudan bilik ini dianggap perlu memandangkan kedudukan stesen muzik yang sedia ada tidak strategik. Dengan diapit 3 stesen yang lain, kelas muzik dilihat mengganggu tumpuan murid kelas lain semasa P&P dijalankan.
Projek ini telah dirancang sekian lama, namun tidak dapat dijalankan lantaran kekurangan sumber kewangan. Alhamdulillah, baru-baru ini PPD Gombak berbesar hati untuk membiayai projek ini. Berikut adalah keadaan asal bilik yang reput dimakan anai-anai. 2 hari sebelum cuti sekolah, aktiviti membaikpulih telah mula dijalankan. InsyaAllah menjelang hari persekolahan minggu hadapan, bilik ini akan siap sepenuhnya. Dengan ini pihak KPBP SKSJ mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang dalam membangunkan KPBP SKSJ baik dari sumber kewangan mahupun sokongan moral. Sekalung kasih dari kami...

13 August 2008

KPBP SKSJ On EduWebTV

Alhamdulillah, KPBP SKSJ maju setapak lagi dalam dunia maya apabila produksi EduWebTV berbesar hati untuk mengadakan liputan dan sesi temuramah berkenaan terapi berkuda yang dijalankan kepada murid-murid KPBP.
Selain menemuramah Pn. Yasmin Azra, krew-krew EduWebTV juga turut mendapatkan maklum balas daripada beberapa orang murid tentang sejauh mana aktiviti berkuda ini membantu mereka dalam proses pembelajaran.


EduWebTV adalah TV pendidikan berasaskan web yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan mula disiarkan pada 1 Mac 2008. Terdapat 7 jenis rancangan yang telah disusun iaitu Berita, Wawancara, Akademik, Rencana, Interaktif, Rancangan TV Pendidikan dan Siaran Langsung. Kesemua ini boleh dicapai di alamat http://www.eduwebtv.com pada bila-bila masa.

03 August 2008

Sambutan Hari Lahir Dharshan

Ibu-bapa salah seorang murid KPBP SKSJ, Dharshansingam A/L Narasingam telah menyumbangkan KFC untuk murid-murid sempena menyambut harijadinya yang ke 11 tahun pada 27 Julai yang lalu. Selamat hari lahir Dharshan. Be a good boy!!

25 July 2008

Aktiviti Melukis Mural

Pada 26hb Julai 2008, guru-guru KPBP SKSJ dan murid-murid telah menjalankan aktiviti melukis mural. Semoga dengan pelaksanaan aktiviti ini akan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih ceria dan sedikit sebanyak dapat menggembirakan murid-murid. Aktiviti ini akan diteruskan lagi dalam pengajaran subjek Kemahiran Hidup dan Pendidikan Seni.

17 July 2008

Terapi

Terapi berkuda adalah salah satu terapi yang dijalankan kepada murid-murid KPBP SKSJ selain terapi renang,brain gym dan refleksiologi. Terapi renang ditetapkan pada hari Rabu minggu kedua setiap bulan, manakala terapi berkuda ini pula diadakan pada hari Rabu minggu ketiga bertempat di Paya Jaras, Sungai Buloh.
Walaupun hujan turun seawal pagi lagi, namun alhamdulillah setibanya kami di sana, hujan mulai renyai membolehkan aktiviti berkuda dijalankan. Murid dibawa berlari dalam jarak 100M & jarak larian ini akan ditambah dari masa ke masa mengikut kemampuan murid. Berbanding sesi yang lepas, peningkatan dapat dilihat dimana murid-murid lebih tenang dan mampu mengawal imbangan.
Antara kebaikan aktiviti berkuda ini adalah untuk memperbaiki keseimbangan badan. Rentak pergerakan kuda secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah otot spastik. Apabila kuda bergerak, penunggang sentiasa dalam keadaan tidak stabil dan mudah jatuh, sekali gus memaksa otot penunggang mengecut, meregang dan berehat bagi mengekalkan kestabilan serta mengelak terjatuh.

11 July 2008

Latihan Pusat Karnival Permainan

Latihan Pusat Karnival Permainan Pendidikan Khas Daerah Gombak telah diadakan selama 3 hari dari 9hb-11hb Julai 2008 di padang SK Taman Desa 2 bagi acara bola jaring dan di EPL Futsal, Rawang bagi acara futsal. Program yang dianjurkan oleh KPBP SK Selayang Jaya dengan kerjasama SK Taman Desa 2 ini bertujuan untuk melatih
49 orang pelajar yang terpilih untuk mewakili Daerah Gombak ke Karnival Permainan peringkat negeri yang akan dilangsungkan di Shah Alam nanti. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang bertungkus lumus melatih pelajar. Moga-moga kontinjen Gombak akan meraih kemenangan dalam Karnival Permainan Peringkat Negeri itu nanti. InsyaAllah...
"Badan Cergas, Minda Cerdas"

04 July 2008

Kursus Terapi Muzik dan Brain Gym Guru-Guru PKBP Daerah Gombak


Kursus Terapi Muzik dan Brain Gym Guru-guru Pendidikan Khas Daerah Gombak 2008 telah diadakan pada 5hb Julai yang lalu bertempat di Dewan Sri Semekar, SMK Rawang. Program yang julung-julung kali diadakan ini merupakan sebuah program bercorak aktiviti fizikal untuk memantapkan kebolehan pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan khas memerlukan guru menggunakan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan perkembangan diri, kebolehan, bakat dan minat murid.
Memandangkan keupayaan murid yang berbeza inilah justeru guru-guru harus menyediakan aktiviti yang sesuai untuk merangsang emosi dan perhatian murid, sekaligus meningkatkan perkembangan motor kasar, motor halus, perkembangan kecerdasan fizikal serta dapat memantapkan otak pelajar secara semulajadi melalui pergerakan. KPBP SKSJ terlibat secara langsung dalam program ini dengan penglibatan semua guru termasuk Pn Hashimah selaku pengacara majlis. Alhamdulillah KPBP SKSJ sendiri telah mengambil inisiatif untuk menjalankan terapi kepada murid-murid. Antaranya termasuklah terapi kuda, terapi renang, terapi muzik melalui aktiviti aerobik dan yang terbaru taman teraputik KPBP SKSJ. Justeru, moga-moga program terapi muzik dan brain gym ini dapat membantu memantapkan lagi aktiviti-aktiviti terapi KPBP SKSJ.

26 June 2008

Majlis Perpisahan Pn.Khamisah Bt Nik

Pn. Khamisah Binti Nik telah berkhidmat selama 8 tahun di SK Selayang Jaya sejak 17 Julai 2000. SKSJ adalah sekolah pertama beliau berkhidmat selepas menamatkan pengajian di maktab. Justeru, pastinya pengalaman mengajar di sini menjadi detik manis dan duka beliau sebagai seorang guru. Beliau akan berpindah ke negeri kelahiran, Terengganu Darul Iman kerana mengikut suami.Hari ini adalah hari terakhir beliau berkhidmat di sekolah ini. Nampaknya makin berkuranglah guru di sini. Akan adakah lagi pengganti seperti beliau? Semoga perkhidmatan beliau sebagai seorang guru diteruskan dengan sukses di sekolah baru.Terima kasih Ustazah Khamisah.. Jangan sekali-kali lupakan kami.

Lawatan Pendidikan Khas Daerah Gombak Ke Johor

Pada 18 dan 19 Jun 2008 yang lalu, Pendidikan Khas Daerah Gombak telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Johor Darul Takzim. KPBP SKSJ turut serta menyertai lawatan tersebut yang diwakili oleh 3 orang murid iaitu Nurul Alya Asyikin, Muhd Aisamuddin dan Mohd Mustaqim serta 2 orang guru pengiring, Pn Rahimah dan Cik Nurul Azlina.
Tujuan utama lawatan ini ialah untuk melawat Sekolah Pendidikan Khas (V) Indah Pura di Kulai. Ia bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar tentang peluang-peluang yang boleh diisi oleh golongan OKU. Murid-murid juga berpeluang melihat dengan lebih dekat kursus yang ditawarkan dan bagaimana ia dikendalikan.


Selain daripada melawat sekolah tersebut, murid-murid juga dibawa bersiar-siar di Danga Bay.

20 May 2008

Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Gardenia

KPBP SKSJ telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Kilang Gardenia, Seksyen 23 Shah Alam pada 20 Mei 2008. Rombongan seramai 44 orang ini bertolak dari SK Selayang Jaya pada pukul 9.00 pagi dan tiba di kilang tersebut pada pukul 10 pagi. Setibanya di sana , kami dibawa ke conference room untuk melihat klip video pemprosesan roti daripada gandum hinggalah selesai dibungkus dan dipasarkan. Seterusnya, kami dibawa ke dalam kilang untuk melihat dengan lebih dekat pembuatan roti dijalankan. Walaubagaimanapun, kami telah diberitahu lebih awal oleh pihak Gardenia agar tidak mengambil gambar sepanjang lawatan tersebut. Bau harum roti membuatkan perut kami mula berkeroncong. Daripada proses menguli hinggalah pembungkusan, semuanya dilakukan dengan menggunakan mesin. Namun, pekerja-pekerjanya nampaknya begitu cekap menjalankan tugas masing-masing. Setiap proses dipantau agar mutu roti terjaga.
Selesai lawatan, setiap pelawat dihadiahkan ole-ole dari pihak Gardenia berupa bungkusan roti. Terima Kasih Daun Keladi. Kemudiannya, kami melawat Taman Tasik Shah Alam di Seksyen 2. Murid-murid berpeluang bermain di taman permainan. Bahkan guru-guru juga tidak melepaskan peluang untuk beristirehat dan merehatkan minda bermain buaian bersama murid-murid. Lawatan berakhir pada pukul 2.00 petang.




unit pendidikan khas pendidikan khas masalah pembelajaran kpbp pkbp ppki kanak-kanak istimewa kanak-kanak berkeperluan khas ciri-ciri kanak-kanak khas autisme sindrom down hiperaktif cerebral palsi disleksia brain gym terapi untuk kanak-kanak khas terapi kuda terapi renang terapi muzik taman teraputik refleksiologi senarai sekolah khas sk selayang jaya sksj himpunan sajak kanak-kanak