Pada malamnya pula, kami dihidangkan dengan sajian BBQ oleh pihak hotel. Majlis makan malam dimeriahkan lagi dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tah siapa yang tahu. Bagi yang bernasib baik, pulang membawa hamper besar. Namun tak kurang juga yang pulang dengan hanya sekaki payung. Apa yang penting, tiada yang pulang dengan tangan kosong. Tahniah dan penghargaan kami tujukan kepada ahli-ahli BKGK, Pn Samsiah dan Pn Rokiah terutamanya yang berusaha mencari penaja dan dana untuk cabutan bertuah tersebut.
Pada hari kedua program, seawal 7.30 pagi lagi acara aerobik telah dimulakan. Oleh kerana permintaan dari guru-guru, aerobik pagi itu dimulakan dengan tarian poco-poco. Kelihatannya tarian poco-poco ini mula mendapat sambutan semenjak dipersembahkan oleh Rumah Kuning pada temasya sukan yang lalu. Seterusnya, acara diteruskan lagi dengan tarian aerobik lagu bangra yang diketuai oleh pasangan adik beradik, Farisya dan Fazrina. Gelek jangan tak gelek dik...
Seusai beraerobik, kami bergerak pula ke pantai untuk aktiviti permainan pantai iaitu bola baling dan bola beracun. Masing-masing nampaknya bersemangat untuk bersukan. Masakan tidak, di sekolah masing-masing sibuk mengajar anak murid hingga tiada masa untuk menunjuk bakat kesukanan masing-masing. Setelah hampir sejam bermain, kami diberi peluang untuk menjalankan aktiviti bebas. Ada yang terjun ke laut, ada yang sibuk dengan ‘babana boat’ dan ramai juga yang tak lepaskan peluang mandi di kolam renang.