08 April 2009

Terapi Renang - Kelab Perangsang Templer

Latihan Dalam Perkhidmatan - Kursus RPI





Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) Kursus Penilaian dan Pentaksiran Individu Pelajar Pendidikan Khas (RPI) yang dianjurkan oleh PPD Gombak telah diadakan pada 4 April yang lalu bertempat di SK Taman Prima. Kursus yang dikelolakan oleh KPBP SKSJ ini disasarkan kepada 55 orang guru-guru pendidikan khas di daerah Gombak untuk menyalurkan maklumat terkini dan format baru penyediaan RPI.

Rancangan Pengajaran Individu (RPI) merupakan dokumen rasmi yang merekodkan perkembangan dan pencapaian murid pendidikan khas bagi satu-satu kemahiran atau tajuk yang diajar.RPI yang mesti ditulis dan dikemaskinikan dari masa ke semasa ini membantu guru mengetahui perkembangan murid bagi membolehkan guru merancang pengajaran dan pembelajaran seterusnya.

Selain mendengar ceramah, para peserta kursus turut terlibat dalam bengkel secara berkumpulan. Setiap kumpulan diberikan contoh permasalahan murid dimana mereka diminta menyediakan satu RPI untuk murid berkenaan. Majlis berakhir sekitar 2.00 petang dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada para penceramah dan peserta. Di kesempatan ini, KPBP SKSJ mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua AJK pelaksana program, penceramah dan para peserta yang menjayakan kursus.

31 March 2009

Terapi Kuda



Terapi kuda KPBP SKSJ pada tahun ini telah diadakan di Jelapang Warisan, Sg Buloh. Jelapang Warisan Sdn Bhd adalah sebuah syarikat milik bumiputera yang ditubuhkan pada tahun 2004 bagi menyediakan perkhidmatan yang komprehensif dalam bidang landskap dan penternakan. Selain menunggang kuda, murid-murid juga dilihat begitu teruja dapat melihat dengan lebih dekat pelbagai haiwan lain yang dipelihara di sini seperti rusa, burung unta, ular sawa dan juga iguana. Landskapnya juga amat indah dengan pokok-pokok hiasan yang berwarna-warni.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman berikut :
http://jelapangwarisan.com/

Projek Pembangunan RMK-9

13 March 2009

Sambutan Maulidur Rasul 1430H



Sambutan Maulidur Rasul 1430H Peringkat Sekolah telah diadakan pada 13hb Mac 2009. Mengikut perancangan awal, majlis akan dimulakan dengan pertandingan perarakan namun tentatif majlis terpaksa dirombak disebabkan hujan lebat seawal pagi lagi. Sementara menunggu hujan berhenti, majlis diteruskan dengan acara lain seperti Tilawah Al-Quran, Kuiz Jawi, Busana Muslim dan pertandingan azan. Dengan tema "Wahdah Pemangkin Khaira Ummah", sambutan kali ini berlangsung dengan sederhana namun tetap meriah dengan penglibatan menyeluruh semua warga sekolah. Guru-guru dan murid KPBP SKSJ bekerjasama sehari sebelum majlis untuk menyediakan sepanduk, bunga manggar dan bendera bagi pertandingan perarakan. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat, namun semangat warga KPBP SKSJ untuk menjayakan majlis amatlah dihargai.

Konvokesyen KPLI-LPBS, Putrajaya (12hb Mac 2009)



Alhamdulillah!! Syukur yang tidak terhingga kami panjatkan ke hadrat Illahi kerana dengan izin-Nya, kami bertiga berjaya menamatkan pengajian KPLI LPBS. Pada 12hb Mac 2009, kami dianugerahkan diploma pendidikan dengan pengkhususan Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran selepas setahun 6 bulan menjalani kursus di Institut Perguruan Ilmu Khas. Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pensyarah di IPIK, Encik Rahim Talib selaku pensyarah pembimbing, Pn Yasmin Azra dan Pn Hashimah yang sudi membimbing sepanjang praktikum dan tidak lupa rakan-rakan guru yang banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar.

05 March 2009

Perkhidmatan Pergigian Sekolah

Perkhidmatan pergigian sekolah secara incremental telah diperkenalkan pada tahun 1985. Penjagaan kesihatan pergigian yang komprehensif dan sistematik ini diberi untuk memastikan murid-murid sekolah mempunyai kesihatan mulut yang baik apabila mereka tamat zaman persekolahan.Perkhidmatan yang disediakan di sekolah adalah penjagaan pergigian asas termasuk pendidikan kesihatan pergigian, pemeriksaan, tampalan, penskaleran dan penggilapan gigi. Pemeriksaan gigi di SKSJ telahpun diadakan sepanjang minggu lepas.

Pada hari ini, murid-murid KPBP SKSJ telah dibawa ke dewan untuk mendengar ceramah oleh jururawat pergigian tentang cara-cara menjaga gigi dengan betul. Antaranya adalah seperti berikut :

  • Gosok gigi dan berkumur-kumur selepas makan

  • Gosok gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari sebelum tidur dan selepas bangun tidur.

  • Amalkan pemakanan sihat. Elakkan makanan yang manis dan masin.

  • Lawatan ke klinik pergigian hendaklah dijadikan satu rutin. Pemeriksaan setiap tiga bulan sekali atau sekurang-kurangnya sekali setahun adalah perlu, bergantung kepada tahap kesihatan mulut.

  • Perkara asas yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mnggalakkan anak-anak menggosok gigi ialah dengan menjadikan amalan itu menyeronokkan. Di pasaran ada pelbagai jenis berus gigi untuk kanak-kanak yang didatangkan dengan pelbagai warna dan dikemaskan dengan pelbagai watak kartun. Pilih satu yang anak-anak anda gemar.Berus gigi hendaklah ditukar sekurang-kurangnya setiap 3bulan sekali.

  • Begitu juga dengan pemilihan ubat gigi. Jika boleh belikan ubat gigi khas untuk kanak-kanak kerana ubat gigi untuk dewasa kadang kala memiliki bau dan rasa yang tidak disenangi mereka.



    04 March 2009

    Program Jalinan Mesra Pendidikan Khas-Aliran Perdana

    KPBP SKSJ telah menganjurkan Program Jalinan Mesra Pendidikan Khas-Aliran Perdana bermula pada 2hb Mac yang lalu. Idea untuk mengadakan program ini tercetus hasil perbincangan GPK Pendidikan Khas, Pn. Yasmin Azra dengan Pn Jamilah, Guru Besar SKSJ dan En. Mahezan ekoran murid pendidikan khas yang diinklusifkan di aliran perdana tidak dapat bergaul baik dengan rakan sekelas. Hal ini mungkin kerana kondusi murid khas yang sedikit berbeza dengan ragam yang pelbagai menimbulkan ketakutan bagi murid-murid lain. Justeru, program ini dianjurkan untuk memberi kefahaman dan sedikit info kepada murid aliran perdana berkaitan murid-murid khas ini. Selain merapatkan jurang perbezaan, antara lain tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada murid khas untuk berinteraksi dengan masyarakat agar persekitaran sosial yang lebih baik dapat dicapai.

    Program ini akan berjalan setiap hari Isnin, dimana murid-murid kelas aliran perdana tahun 4 atau 5 akan dipilih untuk menjadi abang dan kakak angkat murid KPBP SKSJ untuk sepanjang minggu tersebut. Sepanjang minggu ini, program tersebut dilihat berjalan dengan jayanya kerana kakak/abang angkat dilihat komited untuk memberikan kerjasama. Ramai juga antara mereka yang hadir ke pendidikan khas pada waktu rehat untuk membantu adik angkat masing-masing. Agenda program adalah seperi berikut :
    • Murid berkumpul di Pendidikan Khas
    • Nyanyian Lagu Negaraku, Negeri Selangor dan Lagu Patriotik
    • Bacaan Ikrar
    • Ucapan GB/GPK Khas/ Kaunselor
    • Tayangan Slide Show dan penerangan berkaitan pendidikan khas oleh GPK Pend.Khas
    • Program Adik Angkat - Setiap murid aliran perdana memilih seorang murid khas untuk dijadikan adik angkat. Abang/Kakak angkat berkenal-kenalan dengan adik angkat masing-masing dan membawa mereka berjalan di Taman Teraputik
    • Majlis Bersurai


    28 February 2009

    Penggunaan media dan teknologi dalam P&P




    Seperti yang kita sedia maklum, Kementerian Pendidikan telah membekalkan sekolah- sekolah dengan pelbagai jenis teknologi seperti perkakasan dan perisian dengan tujuan untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Antara teknologi utama yang dibekalkan kepada sekolah ialah komputer dan perantinya, Digital Multimedia Systems, rancangan TV Pendidikan, dan perisian pendidikan (courseware). Malahan bagi memastikan keberkesanan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Kementerian Pendidikan telah memberi latihan kepada guru-guru melalui latihan praperkhidmatan dan latihan dalam perkhidmatan tentang cara mengintegrasikan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Latihan juga diberikan bagi mendedahkan guru-guru dengan pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk memilih dan menggunakan teknologi yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaraan. Adalah menjadi dasar Kementerian Pendidikan supaya peralatan teknologi yang dibekalkan di sekolah, digunakan secara maksimum dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
    Oleh yang demikian, KPBP SKSJ mengambil langkah untuk merealisasikan dasar ini dengan perancangan untuk mewujudkan makmal komputer. Sementara menunggu projek ini dilaksanakan, guru-guru turut mengambil inisiatif untuk mengintegrasikan teknologi dalam P&P mereka iaitu melalui pembelajaran berbantukan komputer ((PBK) dan penggunaan courseware dan powerpoint sebagai alat bantu mengajar. Walaupun wujudnya kekangan kerana masalah paparan LCD, namun sekurang-kurangnya murid-murid diberikan pendedahan awal berkenaan penggunaan teknologi ini dalam proses pembelajaran mereka. Penggunaan kaedah PBK dapat membantu pelajar lebih memahami dan seterusnya mampu menyampaikan mesej dan maklumat yang lebih kompleks hasil intergrasi teks, grafik, audio dan video. Kelebihan multimedia ialah pada sifatnya yang interaktif. Sifat ini menghidupkan suasana pembelajaran dua hala yang menarik dan berkesan.

    22 February 2009

    Mesyuarat Agong PIBG SK Selayang Jaya 2009

    Mesyuarat Agong PIBG SK Selayang Jaya 2009 telah diadakan pada hari Ahad, 22 Februari 2009. Antara agenda mesyuarat adalah seperti berikut :

    • Mengesahkan minit mesyuarat PIBG tahun 2008
    • Membentangkan laporan aktiviti dan penyata kewangan 2008
    • Membincangkan hal-hal berbangkit
    • Perbentangan aktiviti 2009
    • Membahaskan Usul

    Antara usul dan cadangan yang dikemukakan oleh ibu-bapa Pendidikan Khas adalah berkaitan masalah nyamuk di Blok Pendidikan Khas. Permasalahan ini telah beberapa kali diutarakan, malahan Pn. Yasmin selaku GPK pendidikan khas juga telah memanjangkan surat memohon semburan nyamuk diadakan. Namun sehingga kini, masih belum ada sebarang tindakan diambil. Moga-moga permohonan kali ini diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan.

    23 January 2009

    Jom Kembali Ke Sekolah

    Sesi persekolahan 2009 telah bermula pada 5hb Januari yang lalu. Pada tahun ini, KPBP SKSJ menerima 10 orang murid baru dan 6 orang murid lagi akan mendaftar selepas Tahun Baru Cina. Pelbagai ragam dan gelagat murid dapat dilihat pada hari pendaftaran tersebut. Ada yang begitu teruja dapat berjumpa rakan-rakan mereka semula dan tidak kurang juga yang menangis tidak mahu ditinggalkan oleh ibu-bapa. Namun selepas 2 minggu bersekolah, murid-murid dilihat mulai selesa dengan persekitaran sekolah. Pada tahun ini, KPBP SKSJ telah merancang beberapa aktiviti menarik sepanjang tahun 2009 untuk murid-murid. Semoga aktiviti ini mendapat sambutan menggalakkan daripada murid dan ibu-bapa.

    17 November 2008

    Lawatan Sambil Belajar Ke Seremban

    Pada 13 November 2008, KPBP SKSJ telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke sekitar Seremban. Seramai 44 orang murid dan guru bertolak dari SKSJ seawal 8.30 pagi dan tiba di Seremban sekitar jam 10 pagi. Seusai menjamah sarapan pagi, kami dibawa ke Kilang Yakult. Pegawai yang bertugas amat mesra dan penerangan yang diberi juga jelas dan dapat menarik perhatian lebih-lebih lagi kanak-kanak. Masing-masing pulang dengan bungkusan minuman yakult yang dibeli dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran.
    Kemudiannya, kami dibawa pula ke Taman Tasik Seremban untuk menikmati santapan tengahari. Seusai makan dan solat, lawatan diteruskan ke Jelita Ostrich Farm. Setibanya disana, murid-murid begitu teruja kerana dapat melihat burung unta dari dekat, malahan diberi peluang untuk menunggang dan menyaksikan perlawanan F1 burung unta. Setiap yang menunggang juga turut diberikan sijil oleh pihak Jelita Ostrich Farm. Petangnya pula, kami dibawa ke ladang penanaman sayur-sayuran secara aerofonik. Disini kami berpeluang mempelajari teknik penanaman sayur-sayuran yang terkini di negara kita. Namun demikian, cuaca yang tidak mengizinkan menyebabkan lawatan ke ladang sedikit terganggu. Sekitar jam 6 petang, rombongan bertolak pulang dan tiba di sekolah pada pukul 7.30 malam.

    12 November 2008

    Majlis Sambutan Hari Jadi (Jul-Dis 2008)

    Pada 11hb November yang lalu, telah diadakan Majlis Sambutan Hari Jadi Pendidikan Khas SKSJ. Majlis ini diadakan untuk meraikan murid-murid KPBP yang menyambut hari lahir sepanjang Julai hingga Disember 2008. Pihak kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada ibu-bapa, guru-guru dan semua pihak yang menyumbangkan makanan dan hadiah untuk murid-murid. Terima Kasih Daun Keladi.

    Hari Kanak-Kanak (RIMUP SKSJ)

    Program RIMUP SK Selayang Jaya telah diadakan pada 10 November 2008, bersempena dengan sambutan Hari Kanak-Kanak. Penglibatan murid secara menyeluruh dapat dilihat melalui acara sukaneka. KPBP SKSJ mengambil bahagian dalam 2 acara iaitu Bom Beracun dan acara bawa bola pingpong dalam sudu. Walaupun setiap murid bakal membawa hadiah yang sama, namun mereka tetap bersaing bersungguh-sungguh untuk memenangi acara masing-masing.

    10 November 2008

    Peperiksaan Akhir Tahun 2008

    Bermula 6 hingga 14 November,murid-murid akan menjalani peperiksaan akhir tahun. Peperiksaan ini adalah yang julung-julung diadakan oleh KPBP SKSJ. Selain untuk menguji tahap pencapaian murid, antara lain tujuannya adalah untuk memberikan pendedahan tentang senario sebenar peperiksaan yang wajib dilalui oleh pelajar aliran perdana. Justeru, murid-murid ini diuji menggunakan kertas peperiksaan akhir bagi tahun 1 dan tahun 2.

    03 November 2008

    Hi-Tea SK Selayang Jaya


    Hi-Tea SK Selayang Jaya telah diadakan pada 1 November 2008 bertempat di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Majlis anjuran Badan Kebajikan guru Dan kakitangan (BKGK) SKSJ ini adalah jamuan makan akhir tahun 2008, bersempena juga dengan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri. Selain menjamu selera, majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah oleh pihak pertadbir dan wakil PIBG yang dijemput.

    unit pendidikan khas pendidikan khas masalah pembelajaran kpbp pkbp ppki kanak-kanak istimewa kanak-kanak berkeperluan khas ciri-ciri kanak-kanak khas autisme sindrom down hiperaktif cerebral palsi disleksia brain gym terapi untuk kanak-kanak khas terapi kuda terapi renang terapi muzik taman teraputik refleksiologi senarai sekolah khas sk selayang jaya sksj himpunan sajak kanak-kanak